Infografik: Nak buat apa dengan duit gaji? Pay Yourself First.

 


Konsep pengurusan gaji yang cekap dan menguntungkan.

Apababila menerima gaji, bayar diri sendiri terlebih dahulu.

Ini bukan soal tamak atau mementingkan diri. Membantu orang sentiasa merupakan pekara paling mulia dalam pandangan aku. Meletakkan diri dalam keadaan yang sentiasa boleh membantu orang adalah pemikiran yang patut disemai sejak mula kita memegang duit gaji.

Aku tidak tahu konsep ini ketika aku mendapat gaji pertama aku. Aku tahu tentang konsep ini sudah lewat, aku amalkan lewat. Oleh itu aku ingin sampaikan kepada sesiapa yang baru mula memegang duit gaji. Tidak kisahlah sama ada bekerja tetap, bekerja sambilan atau pendapatan melalui komisyen, amalkan langkah ini.

Setiap duit yang diterima, simpan 10% untuk diri sendiri. Selama mana hendak disimpan? Secara ideanya, simpan sehingga umur persaraan. Adakah umur persaraan ialah 6o tahun? Ya, bagi penjawat awam, dan sesetengah majikan swasta.

Umur persaraan tidak semestinya 60 tahun. Inipun konsep yang baharu bagi aku, aku lambat tahu. Tetapkan sendiri umur persaraan kita bila. Sama ada bekerja sendiri, menjawat jawatan dalam kerajaan atau berkhidmat dengan syarikat swasta, tetapkan satu umur yang kita rasa pada umur itu kita hendak slow down, tidak perlu terikat dengan sesiapa. Tidak semestinya tidak bekerja, cuma tidak bekerja sebagaimana kita bekerja sekarang.

Jadi, lebih awal kita mula menyimpan 10% dari setiap sen yang diterima, lagi awal umur persaraan kita boleh ditetapkan.

Bayar 10% kepada diri sendiri setiap kali menerima duit. Sebelum membayar hutang, sebelum membeli keperluan. Kalau terpaksa mengikat perut, ikatlah. Kalau terpaksa menapak, menapaklah. Kalau terpaksa pakai telefon skrin retak, pakailah.

Asalkan, setiap bulan, 10% daripada gaji itu kita simpan untuk diri sendiri. Bagi memastikan pay yourself first ini berjaya, dalama apa jua keadaan duit ini tidak sesekali dikeluarkan, sehingga pada hari lahir kita di umur persaraan yang kita pilih.

Bagaimana memilih umur persaraan itu? Tetapkan umur persaraan itu pada umur yang kita rasa kebanyakan perkara dibawah kita telah capai:

  1. Mencapai sasaran wang simpanan yang kita tetapkan sebagai nilai selesa untuk bersara.
  2. Telah melangsaikan hutang dengan bank atau institusi kewangan lain.
  3. Mempunyai insurans kesihatan yang boleh melindungi kos sekiranya belanja perubatan yang tidak terduga terlampau besar.
  4. Mempunyai pendapatan pasif sekurang-kurangnya sama dengan nilai perbelanjaan hidup sekarang.
10% hanyalah cadangan nilai minimun untuk kita membayar diri sendiri. Ada setengah orang menggunakan pendekatkan berbeza. Contohnya seperti di bawah: 
  • Apabila mula bekerja dia menyimpan 50% daripada gaji
  • Setelah membeli kenderaan, dia menyimpan 40% daripada gaji.
  • Setelah membeli rumah dia menyimpan 30% daripada gaji.
  • Setelah berkahwin dia menyimpan 20% daripada gaji.
  • Setelah dikurniakan cahaya mata dia menyimpan 10% daripada gaji.
  • Selepas itu dia tidak pernah menyimpan kurang daripada 10% daripada gajinya sehinggalah dia bersara.
Sudah biasa menyimpan 10% daripada gaji? apa langkah seterusnya?

Langkah kedua? Wujudkan Tabung Kecemasan, Besarkan Tabung Kecemasan dan selenggara Tabung Kecemasan itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RM500 seminggu jual sandwich dari rumah.